Peranan Besar Ulama Di Medan Ummah

72 views

Peranan Besar Ulama Di Medan Ummah

Oleh: Balqis

KOTA BHARU, 23, Julai – Keberadaan ulama amat diperlukan oleh umat Islam khususnya untuk menerajui perpaduan, demikian menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed.

Tegasnya, para ulama, da’i serta pendokong Islam amat penting kepada Islam terutama dalam menyatukan jiwa, mengumpulkan hati serta menyamakan barisan kumpulan Muslimin.

Malah katanya, peranan mereka perlu untuk bertindak menjauhkan umat daripada sebarang perselisihan dan perpecahan.

Beliau berucap demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Peranan Ulama Dalam Menerajui Perpaduan Ummah” pada program Nadwah Ulama Rantau Asia.

Program tersebut diadakan sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) Ke-4 di Kelantan Trade Centre, di sini semalam.

Dalam pembentangannya itu, beliau turut memperincikan ciri, sikap dan peranan semasa para ulama.

“Mereka perlu menjadi pakar dalam ilmu-ilmu agama, seperti ilmu Al-Quran serta tafsirnya, hadith, fiqh dan sebagainya. Mereka juga wajib memelihara amanah keilmuan dengan mengamalkannya sesempurna mungkin.

“Menjadi kewajipan ke atas ulama beramal dengan cara menyebarkan ilmu dan pengetahuan agama tersebut. Dari sini lahirnya ulama yang yakin dan berpegang dengan ilmu-ilmu yang disyariatkan dan mendapat kepercayaan oleh masyarakat,” terang beliau.

Para ulama ujarnya, wajib menjadi orang yang soleh serta bertaqwa kerana taqwa itu ialah lambang ketinggian dan keistimewaan ulama rabbani.

Jelasnya, itu kerana ilmu mendalam dan iman yang kuat akan mengangkat darjat ulama bertaqwa di sisi Allah S.W.T.

Dato’ Dr Mahfodz juga menyebut, wajib ke atas ulama mempertahankan kebenaran di mana dengan menjalankan amanah ilmiah akan dapat memelihara mereka dari pengaruh harta dan dunia.

Selain itu ulama diserunya, perlu untuk beriltizam dengan kemahiran dan uslub penyampaian dakwah kerana manusia terdiri dari pelbagai bangsa.

Katanya lagi, ulama perlu menjadi contoh yang baik kepada orang di sekelilingnya sehingga menjadikan kata-kata dan perbuatan ulama itu sebagai ikutan.

“Peranan lain ulama adalah dakwah kepada Allah. Penting bagi mereka menjadi da’i untuk menyebarkan agama Islam termasuk menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar.

“Ulama juga diharap mampu menerajui kepimpinan dalam bidang pengetahuan dan kemajuan. Ini kerana tanggungjawab ulama termasuklah menyatukan ummah dari sudut iman dan taqwa serta membina masyarakat dengan akhlak yang baik,” lontarnya lagi.

Ulama jelas beliau, turut bertanggungjawab dalam pembinaan generasi Muslim hakiki dengan membetulkan fikrah umat Islam dalam menerima Islam agar beroleh jalan kehidupan yang sempurna.

Dato’ Dr Mahfodz berharap para ulama berperanan sebagai rujukan khusus masyarakat dalam bidang ilmu, termasuk sebarang permasalahan berkaitan kesatuan dan hubungan kemasyarakatan.