Jamiat Islami Pakistan Membina Kekuatan Gerakan Dan Membina Jaringan Kemasyarakatan

142 views

JAMIAT ISLAMI PAKISTAN MEMBINA KEKUATAN GERAKAN DAN MEMBINA JARINGAN KEMASYARAKATAN.

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Nadwah Ulama yang berlangsung sempena Ijtima Antarabangsa bersambung pada hari kedua dengan pembentangan pertama daripada wakil Jamiat Islami Pakistan, Hafiz Muhammad Idrees. Gerakan Islam yang ditubuhkan oleh Maulana Maududi ini pada tahun 1941 telah mengalami pasang surut perjuangan dengan pelbagai hamparan mehnah dan tribulasi.

Jamiat Islami kini berkembang di lima buah negara Sub Continent , Pakistan mempunyai jumlah keanggotaan paling ramai dan paling tersusun organisasinya berbanding Jamiat Islami Bangladesh, Afghanistan dan lain-lain. Jamiat Islami mempunyai Ittehad ulama yang memayungi ulama daripada pelbagai aliran pemikiran , ini untuk mengelakkan pertembungan yang merugikan ummah dan menjadi bidak papan catur musuh.

Jamiat Islami sangat bergaya dalam menyusun kaderisasi dakwah dikalangan mahasiswa dan kaum pelajar. Cabang mereka ialah Jamiat Islami Thulaba yang mempunyai ratusan ribu kader yang bakal menjadi pimpinan masa hadapan gerakan. Jamiat bergerak dengan cemerlang dilapangan pendidikan dengan mempunyai sekolah beraliran diniah seperti ribuan madrasah yang mereka miliki dan sistem formal /konvensional. Penulis lebih tiga kali ke Pakistan dan menelusuri denyut nadi kesungguhan aktivis Jamiat Islami dalam bidang pendidikan dan tarbiah nizomi. Contohnya di negeri Punjab sahaja mereka mempunyai 500 sekolah milik jamaah.

Dalam bidang pengupayaan dan sosialisasi gerakan, Jamiat Islami mempunyai al Khidmat Foundation yang bergerak di medan operasi dalam dan luarnegara. Menurut Hafiz Muhammad , al Khidmat juga membantu peta luka Ummat Islam di Syria, Rohingya dan lain-lain negara. Misi membantu umat Islam yang diterjang tsunami, ribut taufan,gempa bumi, banjir dan pelbagai kesukaran hidup. Al khidmat dibantu oleh Pasban ,iaitu payung yang menggerakkan anak-anak muda Jamiat Islami. Aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan Jamiat Islami menjadi wahana mendekatkan gerakan ini dengan seluruh strata masyarakat.

Jamiat Islami dalam pendekatan politik juga mempunyai rangkaian pemuafakatan politik yang dikenali sebagai MMA (Muttahida majlis el amal), mereka bergabung dengan beberapa buah parti Berorientasikan Islam. Gerakan Islam yang sangat mesra PAS ini mempunyai tokoh-tokoh leluhur kompeten seperti Maulana Maududi, Qazi Husein . Walaupun tekanan regim,kadang menghantar mereka ke jeriji penjara namun gerakan ini tetap mendapat dokongan massa . Seingat penulis, amat sukar Jamiat Islami gagal menghadirkan diri ke program besar yang dianjurkan oleh PAS, hubungan yang terbina puluhan tahun ini terus subur dan mekar.

(Penulis ialah anggota misi bantuan kemanusian tanpa sempadan)