Tuan Guru Terus Ingatkan Akibat Buruk Perpecahan

213 views

Tuan Guru terus ingatkan akibat buruk perpecahan

KOTA BHARU, 22 Julai: Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia terus mengingatkan umat Islam tentang akibat buruk daripada perpecahan yang kesannya masih dirasai oleh dunia Islam pada hari ini.

Tuan Guru Abdul Hadi dalam ucapan penutup di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini mengulangi ingatan terhadap perjanjian Sykes-Picot 1916 dan Deklarasi Balfour 1917 yang membawa kepada penubuhan negara haram Israel di bumi Palestin.

“Kita peringati 100 tahun perjanjian Sykes-Picot yang membahagikan negara-negara umat Islam dan Perjanjian Balfour yang menghalalkan penubuhan negara haram Israel,” tegas Tuan Guru Abdul Hadi.

Beliau sejak beberapa tahun lalu sering mengingatkan tentang ancaman pihak asing terutama kuasa-kuasa besar dari Barat yang melaga-lagakan umat Islam hingga mengakibatkan perpecahan, sambil mengingatkan tentang peristiwa kejatuhan pemerintahan Islam Uthmaniyah di Turki yang berpunca daripada manipulasi Barat.

Sebelum itu, dalam ucapan perasmian Jumaat lalu, Tuan Guru memberi peringatan tentang bahaya pertikaian dalam hal-hal khilafiyah dan pendekatan keras hingga mencetuskan perang proksi di Syria, Yaman dan Libya.

“Musuh mengambil peluang dari perpecahan tersebut, terutama yang tidak faham agama, yang ekstrim untuk melambat-lambatkan dakwah Islam, sedangkan musuh sebenar iaitu Yahudi dan Zionis dibiarkan,” tegas Tuan Guru.

“Ini seperti yang berlaku di Syria dan Iraq, selepas musuh Islam berjaya di Iraq, dan sedang bertindak di negara Teluk sekarang,” tambahnya lagi.

Beliau mengingatkan supaya memahami agama dengan menyeluruh supaya tidak mengambil pendekatan longgar atau ekstreme yang kedua-duanya menyebabkan kesilapan yang akan menguntungkan musuh Islam.