Kerja Keras Pertahan Pemerintahan Bermanhaj Nubuwwah

128 views

Kerja Keras Pertahan Pemerintahan Bermanhaj Nubuwwah

KOTA BHARU, 23 Julai – Pemerintahan seperti yang dilaksanakan oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan konsep “Membangun Bersama Islam” adalah contoh penggunaan manhaj nubuwwah.

Perkara itu dinyatakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin ketika berucap pada penutup Pidato Perdana di Stadium Sultan Muhammad Ke-4, di sini semalam.

Program itu adalah kemuncak Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-4 (Rantau Asia) yang menghimpunkan sekitar 100,000 hadirin padat dalam dan luar stadium.

Jelasnya, manhaj nubuwwah itu adalah pemerintahan pertama Islam yang dilaksanakan Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Kini terang beliau, konsep dilaksana Tuan Guru Nik Aziz dikekalkan oleh Ustaz Dato’ Ahmad Yakob hingga sekarang tanpa mengubahnya.

Katanya, kehadiran ramai yang ditunjukkan pada program itu jelas bahawa rakyat Kelantan dan hadirin dari luar mahu terus mengekalkan pemerintahan Islam di negeri itu.

“Oleh itu, kita terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk Islam dan kembalikan semula kepada ajaran Islam yang dituntut.

“Islam mula tersebar dalam keadaan dagang yakni asing dan ia akan kembali asing. Maka, beruntunglah orang-orang yang asing,” ujarnya membacakan hadis dari Abu Hurairah R.A itu.

Beliau dalam ucapan itu menghurai mengenai perkhabaran gembira dibawa oleh Nabi mengenai hadis tersebut yang mempertahankan sunnah peninggalan Rasulullah.

Beliau menutup ucapan melabuh tirai program tiga hari itu dengan merakamkan penghargaan tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan serta pengorbanan seluruh petugas atas penganjuran tersebut.