Ulamak Perlu Didik Umat Dalami Agama

105 views

Ulamak Perlu Didik Umat Dalami Agama

Oleh: Aisyah Yamin

KOTA BHARU, 21 Julai – Naib Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS), Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan urusan tafaqquh fiddin (mendalami agama) yang merangkumi seluruh aspek merupakan keutamaan umat Islam hari ini.

Oleh hal yang demikian katanya, kegagalan itu telah menyebabkan penyebaran sentimen Islamofobia oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Bahkan katanya, mereka turut membuat serangan media untuk membenarkan tindakan tersebut.

“Kita perlu memperkenalkan Islam secara tafaqquh fiddin dan inilah peranan ulama. Jika ajaran Islam dikaji sedalamnya, ajaran Islamofobia dapat dibendung.

“Namun, proses ini bukanlah sekadar bertalaqqi tadah kitab sahaja. Ia menuntut keterlibatan penganutnya secara amal Islami,” tambah beliau.

Meneruskan ucapan, beliau menjelaskan bahawa kefahaman dalam beragama adalah tiang kesatuan umat dan mesti menjadi salah satu matlamat utama umat Islam dalam mengharungi percaturan politik dunia untuk membebaskan umat daripada serangan pemikiran dan pelbagai fahaman.

“Saat genting ini sedang berlaku terhadap institusi-institusi pondok di negara kita. Ada yang terlalu sibuk dengan masalah-masalah dalaman seperti isu khilafiah, tariqat dan sebagainya sehingga lupa akan masalah utama yang perlu diselesaikan seperti isu aqidah, jinayat dan politik.

“Sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) ini juga, beberapa usul tergempar akan turut dibincangkan demi memperkukuhkan kesatuan umat Islam,” katanya lagi.

Presiden PAS berucap semasa merasmikan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) Kali ke-4 pagi tadi dan acara seterusnya dijadualkan bermula jam 3 petang.