Kelantan Jadi Model Gaya Kepimpinan PAS

126 views

Kelantan Jadi Model Gaya Kepimpinan PAS

Oleh: Aisyah Yamin

KOTA BHARU, 20 Julai – Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man memetik kata-kata Saidina Umar, “Kalau ada perintah Allah dalam Al Quran yang tidak dapat dilaksanakan, beliau akan menggunakan kuasa politik yang beliau ada untuk menyempurnakan perintah Allah.”

“Kemenangan di Kelantan menjadi model kepada orang luar untuk melihat gaya pemerintahan PAS yang menerajui Kelantan.”

Menurut beliau lagi, masalah besar adalah untuk membina keyakinan, “Perjuangan kita besar dan tidak habis setakat pilihanraya sahaja. Tiga dimensi yang menjadi asas perjuangan PAS ialah dakwah, siasah dan tarbiyah.”

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata mempertahankan kemenangan di Kelantan menjadi keutamaan dalam gerak kerja siasah untuk membina keyakinan terhadap pemerintahan yang bebas rasuah meskipun dilempar pelbagai tuduhan. Ditambah pula dengan pemimpin yang berpesonaliti sangat sederhana.

Selain itu, kepimpinan Kelantan dengan pemikiran strategik, keilmuan, tarikan personaliti dan ketelusan telah merancakkan perkembangan pendidikan, ekonomi Islam dan negeri itu dipopularkan lagi dengan gelaran ‘Serambi Mekah’.

Pemimpin Kelantan akan sentiasa bercakap tentang keperluan pendidikan Islam untuk membentuk masyarakat yang memahami Islam.

Selain itu, Bajet 2017 Negeri Kelantan sendiri telah memberikan keutamaan kepada belanja kegiatan aktiviti dakwah dan bina insan bagi melahirkan rakyat yang bermotivasi tinggi, dinamik dan berbakat serta mengamalkan nilai-nilai hidup Islam yang syumul.

Kelantan juga dengan pantas memacu perubahan, bukan sahaja Bandar Kota Bharu bertambah maju dan membangun tetapi Kelantan juga menawarkan insentif kerajaan negeri kepada rakyat. Antaranya dengan memberikan diskaun 90% terhadap tunggakan denda permohonan pemilikan tanah dan peningkatan kutipan tunggakan dalam tempoh diskaun iaitu November dan Disember 2016 sebanyak RM 1.64 juta. Selain daripada itu, rakyat juga mendapat geran tanah yang dipohon dalam tempoh yang lebih cepat.

Hasil daripada insentif ini telah memperlihatkan peningkatan pungutan tunggakan cukai tanah bagi tahun 2016 sebanyak 50.51% dengan jumlah kutipan RM 6.15 juta berbanding dengan tahun 2015 iaitu sebanyak RM 4.08 juta.