Anak Muda Pencorak Masa Depan Negara

133 views

Anak Muda Pencorak Masa Depan Negara

Oleh Raja Azri

KOTA BHARU, 21 Julai – Anak muda Islam perlu menjadi ‘role model’ kepada yang lain dan mengetuai suatu kelompok seterusnya membina suasana baik untuk ummah ini, demikian seru Pengarah Jawatankuasa Induk Ijtimak Kelantan 2017, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut beliau, anak muda akan dicorak mengikut idola mereka kerana mempunyai kecenderungan, minat dan semangat yang berkobar-kobar serta masa depan panjang, selain impian kuat.

Perkara itu terangnya, sebagaimana digariskan oleh Imam Hasan al-Banna iaitu tokoh pengasas Gerakan Islam Ikhwanul Muslimin Mesir yang berjaya menghimpun serta menggerakkan kebangkitan tajdid dan islah dalam kalangan anak muda Islam.

“Usah lagi berfikir akan mereka yang tidak mahu berjuang untuk Islam, tetapi kumpulkan mereka-mereka yang mahu berjuang untuk Islam. Anak muda mesti membina dan memperkuatkan rangkaian hidup seharian dengan Allah S.W.T.

“Iaitu dengan menjadi insan yang soleh. Kerana setiap anda punyai peranan mengikut kemampuan masing-masing untuk menarik masyarakat kepada Islam,” ujarnya menyemarakkan semangat anak muda.

Beliau berkata demikian semasa mempanelkan Forum Perdana membicarakan tajuk “Islam Sebagai Penyelesaian”.

Forum itu diadakan sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-4 (Rantau Asia) di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, semalam.

Ujar beliau, perbicaraan mengenai anak muda bererti memperkatakan mengenai soal masa depan yang amat penting diberi perhatian oleh generasi kini.

Bersama beliau selaku panelis ialah Bekas Biarawati dari Indonesia, Irena Handono Mansur; Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad dan pendakwah mualaf, Ann Wan Seng.