Keunikan Kelantan hiasi warna warni ijtimak antarabangsa

210 views

Oleh: Amirah

SINONIM dengan gelaran negeri ‘Serambi Makkah’, Kelantan sekali lagi dijangka menerima kunjungan tetamu dari 17 buah negara yang bakal mengikuti Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-4.

Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu sebagai pentas utama acara dijangka akan dipenuhi ribuan peserta selama tiga hari ijtimak dilangsungkan bermula hari ini hingga Sabtu nanti. Kelantan ternyata dilihat mempunyai keunikan dan prestijnya yang tersendiri selaku tuan rumah penganjuran kali ini.

Menurut Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, pada asalnya bukan Kelantan yang dipilih sebagai tuan rumah, tetapi pihak Kesatuan Ulama Dunia telah membuat keputusan tersebut. Maka bagi Kelantan katanya, ‘kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’. Sekali gus menggambarkan perasaan rakyat negeri itu jika terhadap keterujaan menyambut ribuan hadirin yang bakal membawa rahmat kepada negeri mereka.

Selain dipilih kerana latarbelakang pentadbiran Kelantan berteraskan Islam, negeri ini juga boleh dijadikan simbolik kepada isu-isu perbincangan yang akan di pentaskan di dalam Ijtimak Kelantan 2017 pada kali ini. Antaranya adalah forum “Islam Jalan Penyelesaiannya” dan isu-isu umat Islam serantau. Ini kerana isu-isu sebegini adalah sensitiviti yang sangat dekat dan menjadi perjuangan utama oleh Kelantan sehingga ke hari ini, contohnya seperti pindaan RUU 355.

Tambahan pula, Kelantan jelas tersohor dengan pusat-pusat pengajian berorientasikan pengajian ilmu Islam khususnya sekolah agama dan pondok. Di Kelantan, perkembangan dan pemerkasaan institusi ini merupakan nadi ketamadunan yang tidak sesekali dipandang enteng. Kerana itu, negeri ini subur dengan medan ilmu termasuklah mengalu-alukan penganjuran ijtimak pada kali ini.

Sementara itu, Kelantan juga kaya dengan keunikan makanan yang pelbagai. Sambil menghayati pelbagai pengisian rohani, pengunjung bolehlah mengambil peluang merasai keistimewaan makanan yang agak berbeza dari negeri lain, terutama tetamu dari luar negara. Antara kedai yang boleh menjadi pilihan adalah seperti Restoren Nasi Ulam Cikgu, Warung Pak Mat Pulau Pisang, Kopitiam Kita dan banyak lagi.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob zahitnya begitu bersedia menerima kunjungan ribuan orang ramai yang akan bersama-sama mengikuti Ijtimak Kelantan 2017 yang secara rasminya akan bermula pada 2 petang ini. Beliau juga berharap agar objektif menghimpun dan menyatukan ulama serta pendakwah bagi mewakili negara-negara dari seeluruh Rantau Asia akan tercapai.