Undang-undang Islam: Rahmat untuk semua.

1,245 views

Marang, 21 Mac – Dato’ Dr Mahfodz Mohamed menegaskan pelaksanaan undang-undang Islam bukan menzalimi rakyat tetapi ia adalah satu rahmat yang akan dirasai oleh seluruh ummat di Malaysia.

Mengambil contoh Arab saudi yang berjaya mengurangkan kadar jenayah seperti kes rompakan dan samun sebanyak 20 kes dalam tempoh 24 tahun, beliau yakin undang-undang ini akan melindungi mangsa dan mengadili penjenayah seadilnya kerana ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah kepada hambanya.

Pensyariatan ini akan menjaga seluruh aspek mencangkupi nyawa, harta, keturunan, agama dan akal manusia. Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang ini juga akan mengambil kira ijtihad para ulamak mengikut kontaks yang sesuai dengan negara Malaysia.

” Bagi kes mencuri, ulama akan melihat berapa jumlah harta yang dicuri, mereka akan berijtihad. Bukanlah sebarangan orang yang mesti dipotong tangan, jika dilaksanakan hukuman potong tangan ini adalah sebagai balasan dan juga sebagai pencegahan dari Allah Taala untuk mencegah jenayah .”

Dato Mahfodz turut melahirkan rasa syukur apabila sidang DUN kerajaan Kelantan meluluskan rang undang-undang jenayah syariah. Beliau turut menyeru seluruh ummat Islam agar menyokong pelaksanaan undang-undang tersebut di Malaysia.

“Alhamdulillah, Ustaz Ahmad Yaakob telah membuat pindaaan untuk menambah baik rang undang-undang yang dicadang sebelum ini dan diluluskan oleh DUN Kelantan. Sebagai orang Islam, kita hendaklah sokong rang undang-undang ini, tidak boleh ditunda dan tidak boleh dilewatkan lagi”